
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Terapi berkuda atau dikenali sebagai hipoterapi kian mendapat perhatian sebagai kaedah rawatan alternatif yang berkesan terutamanya bagi kanak-kanak istimewa yang menghadapi masalah neurologi.
Pakar Neurologi Kanak-kanak di Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr. Malinee Thambyayah menekankan kepentingan dan keberkesanan terapi ini dalam membantu perkembangan pesakit cilik.

Nur Irdiyana ketika ditemu bual Malaysia Aktif.
“Hipoterapi, khususnya, menggabungkan elemen terapi cara kerja dan fisioterapi dengan menggunakan kuda sebagai medium utama. Aktiviti luar ini dilihat lebih berkesan berbanding kaedah konvensional.
“Terapi haiwan bukan sahaja melibatkan kuda. Ada juga terapi menggunakan anjing atau ikan lumba-lumba. Kanak-kanak dapat berkomunikasi dan berinteraksi lebih baik dengan haiwan berbanding manusia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Interaksi itu katanya membolehkan mereka lebih terbuka dan responsif terhadap rawatan se;ain menekankan rawatan bagi kanak-kanak berkeperluan khas tidak hanya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja.
Justeru, pakar neurologi itu juga sering merujuk pesakitnya terutama yang mengalami cerebral palsy dan autisma ke Happy Farm iaitu pusat yang menyediakan terapi berkenaan.
Jurupulih Cara Kerja di Happy Farm Nur Irdiyana Idrus berkata salah satu kelebihan utama hipoterapi terletak pada aspek fisioterapi yang disediakannya secara semula jadi.
Ia melibatkan pergerakan tiga dimensi kuda iaitu ke atas dan ke bawah, ke hadapan dan ke belakang serta dari sisi ke sisi, dalam mensimulasikan pergerakan pelvis manusia semasa berjalan sekali gus meningkatkan kekuatan teras (core strength), keseimbangan dan koordinasi badan secara efektif.

Teknik/jenis rawatan yang dibuat semasa hipoterapi yang didemonstrasi oleh jurupulih Happy Farm.
“Interaksi dengan haiwan seperti kuda membantu kanak-kanak yang mungkin menghadapi kesukaran dalam berkomunikasi dengan manusia. Ini bukan sahaja membantu dalam perkembangan emosi dan sosial mereka tetapi juga dapat mengurangkan masalah tingkah laku seperti tantrum.
“Kanak-kanak ini kadang-kadang lebih mudah berinteraksi dengan haiwan. Mereka mungkin lebih terbuka dan menunjukkan reaksi positif apabila bersama kuda,” jelasnya.
Menurutnya, mereka telah melihat banyak peningkatan pada pesakit yang menerima terapi di situ sekali gus yakin bahawa hipoterapi menawarkan pendekatan unik dan berkesan untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas mencapai potensi penuh mereka.
“Saya juga berharap agar rawatan hipoterapi ini dijadikan salah satu silibus dalam pendidikan kesihatan agar ianya tidak lenyap begitu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hadir memberi sokongan dan merasai sendiri teknik rawatan hipoterapi selain mendengar penerangan oleh Happy Farm di Kelab Equestrian Bukit Kiara agar kaedah itu dapat dikembangkan lagi.
-RI







