Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kebakaran Hutan Taman Sri Gombak, Bandar Tasik Puteri Padam Sepenuhnya

By 19 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBPM

GOMBAK, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Kebakaran hutan di Jalan Lintang, Taman Sri Gombak dan Bandar Tasik Puteri semalam telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pagi tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang Zaidi Ahtan, hanya beberapa tompokan asap kecil yang masih kelihatan, namun pihaknya mengesahkan ia tidak mempunyai potensi untuk merebak.

Antara jentera yang digunakan JBPM dalam operasi memadamkan kebakaran di Taman Sri Gombak dan Bandar Tasik Puteri.

“Pemantauan berjadual sedang dilaksanakan oleh pasukan bomba bagi memastikan keadaan terus terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidi berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia seperti berkebun, pendakian dan lain-lain aktiviti rekreasi.

“Kami menyeru agensi berkaitan untuk turut sama menjalankan rondaan di kawasan terlibat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka.

“Orang awam diminta agar tidak menjalankan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran terutama sewaktu cuaca panas dan kering ketika ini,” tegasnya.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kebakaran hutan seluas 10 ekar di Jalan Lintang, Taman Sri Gombak pada 2.59 petang.

Beberapa minit kemudian, satu lagi panggilan diterima melibatkan kebakaran hutan seluas 14 ekar berhampiran Bandar Tasik Puteri.

Seorang anggota bomba wanita juga dilaporkan cedera semasa bertugas dan telah dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

-RI

Tinggalkan komen anda