
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Dhariishene Sivanathan
BATU KAWAN, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kepelbagaian kaum di Malaysia bukanlah penghalang kepada keharmonian, sebaliknya merupakan kekuatan utama negara jika dipelihara dengan baik.

Anwar (dua dari kanan) menyampaikan Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada Wakil KRT Taman Bagan Pasir, Perak sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025.
“Kepelbagaian itu bukan sahaja boleh mencapai harmoni, tetapi juga boleh menimbulkan kekacauan apabila kita mendengar hasutan.
”Membangun itu mengambil waktu, meroboh itu senang sekali,” katanya di hadapan ribuan hadirin ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, hari ini.
Tegasnya, kerajaan yang diberi mandat untuk memimpin negara wajib berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Anwar (kanan) melawat Pameran Rumah KAMI, Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.
“Saya hendak bagi satu ingatan kepada rakyat Malaysia, ini tanggungjawab bersama kalau nak selamatkan negara ini kita mesti jaga perpaduan.
”Memang Melayu Bumiputera majoriti tetapi kalau kita santuni semua, jaga Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan kita akan selamat. Kita mesti bersatu dan harmoni, ini bukan soal kemestian tapi soal survival Malaysia,” ujarnya.
Sambutan Minggu Perpaduan tahun ini yang mengangkat tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan budaya, pameran serta penyertaan komuniti pelbagai kaum dari seluruh negara.
-RI





