
Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat
KANGAR, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Sebagai usaha memperkukuh kesedaran terhadap keselamatan dalam talian dalam kalangan murid sekolah rendah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) negeri Perlis telah menganjurkan sesi latihan jurulatih (ToT) bagi Kempen Internet Selamat.
Program melibatkan penyertaan 30 wakil Komuniti MADANI dari Parlimen Kangar dan Arau berlangsung di Dewan Seminar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis.

Para peserta memberikan tumpuan bagi memahami modul yang dipelajari.
Latihan berstruktur itu menggunakan modul bertajuk ‘Internet Boleh, Media Sosial Nanti Dulu’ memberi fokus kepada aspek penggunaan internet secara selamat, pemahaman had umur media sosial serta pendedahan terhadap risiko dalam talian seperti buli siber dan pengantunan seksual (online grooming) yang semakin membimbangkan.
Sesi ToT disampaikan Penolong Pengarah SKMM negeri Perlis Nurul Elani Rashid yang menekankan kepentingan pendekatan mesra umur dan berfokus kepada realiti pemikiran murid sekolah rendah.
Fasilitator turut menyarankan keperluan memahami cara murid-murid berfikir dan menggunakan pendekatan infotainment (maklumat hibur) agar mesej lebih difahami.
Program berkenaan merangkumi enam stesen interaktif bagi modul sekolah rendah iaitu termasuk literasi digital, bahaya platform digital, cadangan gaya hidup sihat tanpa ketagihan internet dan kuiz interaktif.

Peserta ToT didedahkan modul yang berstruktur bagi Kempen Internet Selamat.
Menurut peserta Norain Mat Saad, 27, dari Komuniti MADANI Alor Redis, sesi itu membuka pandangan baharu mengenai pentingnya pendidikan awal penggunaan teknologi kepada anak-anak di sekolah rendah mahupun menengah.
“Sekarang ini semua benda ada di hujung jari. Kita sebagai ibu bapa kena peka dan bantu anak faham risiko sejak kecil,” katanya lagi ketika ditemui setelah tamat sesi pembelajaran.
Program ToT Kempen Internet Selamat anjuran SKMM Perlis ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai ihsan dan hormat ke arah melahirkan masyarakat yang celik digital, beretika dan bijak memilih kandungan yang sihat untuk minda dan emosi.
-RI






