
Laporan/foto: Muhammad Nashran/Ikhwan Fahim (Kampar)
KAMPAR, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Keunikan budaya Orang Asal terserlah apabila Komuniti Orang Asal Kampung Batu Berangkai mempersembahkan tarian sewang dalam Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan Komuniti MADANI Bandar Baru Kampar yang berlangsung di Dataran Majlis Daerah Kampar, di sini kelmarin.
Persembahan tradisional itu bukan sahaja menghidupkan suasana majlis, malah menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian budaya masyarakat setempat, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.

Senamrobik turut mewarnai program tersebut.
Timbalan Ketua Komuniti MADANI Bandar Baru Kampar Mior Harris Mior Abdullah, berkata program ini menggalakkan interaksi pelbagai kaum melalui aktiviti sihat dan bermanfaat, selain menjadi saluran penyampaian maklumat dasar kerajaan.
“Pemilihan nama Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan amat bertepatan dengan objektifnya yang menekankan elemen kemasyarakatan dan perpaduan,”ujarnya.
Mior turut menyifatkan ia sebagai satu inisiatif terbaik oleh Jabatan Penerangan dalam merapatkan hubungan antara rakyat dan agensi kerajaan dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan di lokasi lain lagi.
Pegawai Penerangan Daerah Kampar Roziah Ishak dalam ucapannya, menjelaskan bahawa Komuniti MADANI merupakan satu komuniti yang telah dilantik dan dipilih daripada pelbagai kaum, dengan matlamat utama untuk menyampaikan maklumat serta isu-isu kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Komuniti MADANI melambangkan perpaduan rakyat pelbagai bangsa yang bekerjasama dalam membina komuniti yang harmoni dan saling memahami,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program seumpama ini yang turut menampilkan persembahan kebudayaan sebagai langkah berkesan dalam merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang melalui pendekatan kemasyarakatan.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin.
Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Ashman Ahmad dan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kampar Muhammad Syazwan Asyraf Johari.
-RI





