Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Masjid Nagore Alor Setar Warisan Islam Unik di Tengah Bandar

By 21 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)

ALOR SETAR, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Terletak di tengah-tengah pusat bandar Alor Setar, Masjid Nagore menjadi salah satu mercu tanda bersejarah yang mencerminkan keunikan seni bina Islam dan warisan komuniti India Muslim di negeri Kedah.

Sejarah Masjid Nagore Alor Setar.

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Nagore Darul Salam ini telah dibina pada tahun 1879 oleh komuniti India Muslim dari wilayah Nagore, India Selatan, yang berhijrah ke Alor Setar untuk berniaga dan menyebarkan dakwah Islam. Sehingga hari ini, masjid tersebut masih berdiri megah di Jalan Telaga Tujuh dan kekal menjadi tempat ibadah utama bagi masyarakat setempat.

Keunikan Masjid Nagore terletak pada seni binanya yang memadukan gaya arkitektur Islam dan unsur budaya India Selatan. Struktur kubah dan menara kecil yang tersergam indah di atas bumbung masjid menjadikannya berbeza daripada kebanyakan masjid lain di Alor Setar.

Masjid ini turut aktif dengan pelbagai program keagamaan seperti kuliah maghrib, kelas mengaji untuk dewasa, serta pengagihan bubur lambuk dan aktiviti kebajikan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidiladha. Komitmen jawatankuasa masjid dalam mengimarahkan rumah Allah ini menjadikan Masjid Nagore terus relevan dan dekat di hati masyarakat.

Keunikan seni bina Masjid Nagore.

Bagi seorang pelancong tempatan Zakaria Ismail, 55, yang ditemui semalam, berkata masjid ini menjadi salah satu lokasi bersejarah yang wajib dikunjungi apabila berada di ibu negeri Kedah.

“Kedudukannya yang strategik berdekatan Menara Alor Setar dan Pekan Cina menjadikan masjid ini mudah diakses dan sering menjadi lokasi persinggahan pelancong yang ingin mengenali sejarah Islam di Kedah,” katanya.

Masjid Nagore bukan sekadar lambang seni bina unik, tetapi bukti warisan Islam yang terus dipelihara sejak lebih satu abad lalu mencerminkan perpaduan dan kekuatan masyarakat Islam di bumi Jelapang Padi.

-RI

Tinggalkan komen anda