
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/JKKN Johor (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 2,000 penduduk setempat membanjiri Kampung Pendas Baru, Gelang Patah, bagi memeriahkan majlis perasmian Program Rewang Budaya@Komuniti Gelang Patah, kelmarin.
Program selama tiga hari bermula Jumaat lalu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor sempena inisiatif Penyemarakan Seni Budaya@Komuniti, dengan matlamat memperkasa semula budaya gotong-royong dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pandak, berkata program Rewang Budaya bukan sahaja mampu menghidupkan semula nilai kebersamaan, malah turut membuka ruang kepada penduduk setempat untuk menonjolkan bakat dalam seni persembahan tradisional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata program tersebut bukan sahaja mampu menghidupkan semula nilai kebersamaan, malah turut membuka ruang kepada penduduk setempat untuk menonjolkan bakat dalam seni persembahan tradisional.
“Meskipun penduduk kampung berada di tengah-tengah arus pembangunan pesat seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kita tidak boleh melupakan budaya, adat resam dan seni persembahan warisan agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program mewakili Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnasamy.
Antara pengisian utama program termasuk Malam Riuh Sekampung, Pesta Rewang, pertandingan seni budaya, sesi pencungkilan bakat, sukan rakyat, bengkel inovasi jong, serta jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan kraf tempatan.
Sementara itu, Pengarah JKKN Johor Abdul Rashid Abdullah, berkata konsep rewang yang diketengahkan melalui program ini dilihat sebagai medium membina perpaduan dan keharmonian komuniti menerusi penglibatan menyeluruh dalam penyediaan acara.

Lebih 2,000 penduduk hadir memeriahkan perasmian Program Rewang Budaya@Komuniti di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah.
“Segala persiapan Malam Riuh Sekampung dilaksanakan sepenuhnya oleh penduduk kampung. Ini bukan sahaja menyemai semangat gotong-royong, bahkan memperkukuh hubungan antara kaum dan membentuk masyarakat yang berbudi bahasa serta bersatu padu,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan persatuan seni budaya setempat yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bagi memastikan kesinambungan seni warisan dapat dipelihara dan dikembangkan secara lebih tersusun.
“Persatuan berdaftar layak memohon Geran Sokongan Kebudayaan (GSSK) serta pelbagai insentif di bawah JKKN bagi menganjurkan program yang menjurus kepada pembangunan seni budaya tempatan,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Masni Wakiman, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Johor Nurazlin Abu Talib dan Pengarah Pembangunan Masyarakat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Ungku Ahmad Ungku Mohd Zakaria.
-RI





