Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JOJ 2025 Santuni Pusat E-Sukan Felda Papan Timur

By 20 Julai 2025Julai 21st, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Muhammad Al-Tarmizi (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025 terus menyantuni komuniti Felda Papan Timur menerusi aktiviti interaktif di Pusat E-Sukan kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin berkata permainan video seperti PlayStation 5 (PS5) bukan sekadar medium hiburan semata-mata, malah berpotensi menjadi alat rangsangan minda dan kreativiti dalam kalangan generasi muda.

Aznan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti Felda Papan Timur, Ahmad Soudar di hadapan Pusat E-Sukan sempena Jelajah Orang Johor (JOJ) 2025.

“Saya percaya, dengan bimbingan dan pengawasan yang betul, permainan seperti PS5 ini boleh membantu anak-anak kita berfikir secara kritis dan strategik,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat E-Sukan Felda Papan Timur, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, walaupun teknologi seperti permainan digital dan kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi kehidupan harian, pendidikan formal tetap menjadi asas utama pembangunan modal insan.

“Sebagai Exco Pendidikan, saya amat menyayangi anak-anak ini dan berharap mereka menjadi pelapis kepimpinan masa depan,” ujarnya.

Aznan turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor sedang merangka pelan untuk menjadikan negeri itu sebagai hab kecerdasan buatan terbesar di Malaysia, seiring dengan perkembangan teknologi global.

“Insya-Allah, Johor akan menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi AI negara. Maka, anak-anak kita perlu bersedia dari sekarang,” katanya penuh optimis.

Sementara itu, penduduk tempatan Nabil Fikri, 23, menyifatkan inisiatif itu sebagai satu langkah positif untuk mendekatkan anak muda dengan kemajuan teknologi.

“Saya sangat teruja menyertai pertandingan ini. Ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membuka ruang untuk kami memahami teknologi seperti AI dengan lebih dekat. Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja memupuk semangat komuniti, tetapi turut membuka ruang kepada golongan muda untuk meneroka potensi diri dalam bidang teknologi dan inovasi digital.

-RI

Tinggalkan komen anda