Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Mini Agropreneur Perikanan Penggerak Keusahawanan Komuniti Luar Bandar

By 21 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Program Mini Agropreneur Perikanan Daerah Kota Tinggi Tahun 2025 telah diadakan dengan jayanya di Cinta Herbs Garden & Nursery, Felda Air Tawar 3, di sini kelmarin.

Norlizah ketika merasmikan program Mini Agropreneur Perikanan Daerah Kota Tinggi Tahun 2025.

Majlis tersebut dianjurkan bagi membuka peluang dan mendukung semangat keusahawanan dalam kalangan penduduk luar bandar yang kini terkesan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama Norlizah Noh dalam ucapan rasmi beliau menekankan keperluan mendalami bidang pertanian dan penternakan sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Program ini juga bertujuan untuk mengalakkan penduduk kampung berkecimpung dalam bidang keusahawanan terutama dalam penternakan dan usahawan perikanan.

“Demonstrasi yang diberikan adalah satu cetusan idea kepada bakal usahawan untuk memperkembangkan lagi produk mereka dengan menceburi dalam sektor perikanan,” katanya.

Norlizah melawat reruai pameran.

Beliau turut menambah bahawa program ini berpotensi melahirkan produk daripada penternakan serta menjadikan kolam ternakan sebagai elemen terapi dan satu daya tarikan dalam sektor agropelancongan.

Program ini juga memperkukuh kehadiran dan khidmat Jabatan Perikanan Negeri Johor serta Pejabat Perikanan Daerah Pengerang dan Tanjung Sedili dengan menyediakan nasihat teknikal kepada penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor perikanan dan agro pelancongan. Usaha ini selaras dengan aspirasi Johor untuk pembangunan luar bandar yang inklusif, berdaya saing dan berinovasi.

Turut hadir Pengarah Felda Wilayah Johor Bahru Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor Adha Ramli dan Pengurus Felda Air Tawar 3 Johari Abdul Rashid.

-RI

Tinggalkan komen anda