
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)
PORT DICKSON, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 50 anggota pentadbiran dan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan MADANI turun padang bagi menyertai ‘Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI’ bersama penduduk setempat di Jeti Nelayan Kampung Teluk Pelandok sempena Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan MADANI, di sini semalam.

Aktiviti mengecat jeti oleh Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.
Antara yang turut serta ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Sumber Manusia Steven Sim serta Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.
Saifuddin Nasution berkata penglibatannya itu adalah satu pengalaman unik apabila bersama-sama penduduk setempat sambil melakukan pelbagai aktiviti seperti mengecat jeti serta mengait jaring.
Pada masa sama, beliau berkata aktiviti berkenaan membolehkannya memahami aktiviti dan potensi ekonomi di kawasan tersebut.
“Program ini memberikan kami peluang bergaul bersama dengan komuniti setempat dan pendekatan begini kita tahu MADANI bukan hanya membangunkan negara, tetapi juga individu,” katanya.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim mencuba membuat kuih ketayap.
Sementara itu, penduduk kampung Nor Ipah, 48, sangat teruja apabila kampung berkenaan dikunjungi oleh Ahli Parlimen Malaysia.
“Ada antara mereka yang mencuba menyediakan kuih tradisional seperti onde-onde dan kuih ketayap,” katanya.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut meluangkan masa memberikan sokongan bersama pemimpin Kerajaan MADANI di jeti itu.
Turut diadakan penyampaian bantuan kepada penduduk dan pengagihan 300 ekor ayam segar secara percuma kepada penduduk setempat.
-RI






