
Laporan/foto: Muhaimin Musa/Muhammad Azrul Hafiz
KUALA LUMPUR, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul semalam merasmikan pangkalan cawangan kereta peronda baharu, menandakan satu langkah penting memperkukuh kehadiran polis dan meningkatkan keselamatan komuniti di sekitar ibu negara.

Anggota bersama unit peronda di bawah seliaannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata peranan kritikal Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) adalah sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam memastikan keamanan dan keselamatan.
Beliau menggariskan kewujudan unit berkenaan adalah asas kepada keupayaan polis untuk bertindak balas dengan pantas dan cekap terhadap sebarang insiden jenayah, sekali gus meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk.
Katanya, idea penubuhan pangkalan itu tercetus pada akhir tahun lepas oleh Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis IPD Sentul.
“Menyedari kekangan bajet segera daripada kerajaan, pendekatan untuk mendapatkan sumbangan awam telah diambil. Usaha ini membuahkan hasil apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan,” katanya.
Pembinaan pangkalan itu menjadi kenyataan hasil sumbangan besar pelbagai pihak termasuk RM250,000 daripada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, RM15,000 daripada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta beberapa individu lain yang prihatin.

Ahli Parlimen Kepong (baju putih) turut memberikan sumbangan sebanyak RM250,000.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melengkapkan pangkalan tersebut dengan peralatan penting yang diperlukan.
Rusdi turut berkongsi pengalamannya ketika menjawat jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur di mana laporan harian pada 8 pagi sentiasa merangkumi statistik MPV di setiap daerah, menunjukkan komitmen PDRM terhadap rondaan sepanjang masa bagi memastikan kehadiran polis sentiasa dirasai dan dapat mencegah jenayah.
Jelasnya lagi, penubuhan pangkalan itu selaras dengan visi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar selamat dan aman kepada warganya.
-RI





