
Laporan/foto: Azrul Hafiz/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan peruntukan tambahan bagi pembelian kamera badan (bodycam) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi menangani lonjakan jenayah khususnya di Kuala Lumpur.

Lim Lip Eng menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Perasmian Pangakalan Cawangan Kereta Peronda IPD Sentul.
“Disebabkan populasi yang tinggi serta peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih banyak di Kuala Lumpur, ia secara semula jadi menarik kepada peningkatan aktiviti jenayah.
“Oleh itu, saya amat berharap agar KDN dapat memperuntukkan lebih banyak unit kamera badan dan kamera papan pemuka kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.
Lim Lip Eng berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pangkalan Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kamera badan dan kamera papan pemuka berfungsi sebagai alat penting dalam mengumpul bukti video yang tidak dapat disangkal selain rakaman video dapat memperkemas proses penyiasatan dan pendakwaan kes jenayah.

Lim Lip Eng bersama tetamu kehormat semasa menyanyikan lagu ‘Polis Sedia Berkhidmat’.
Menurutnya, penggunaan kamera secara meluas akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap operasi, secara langsung memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap integriti serta profesionalisme pasukan polis.
Katanya ia membantu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mengurangkan insiden salah laku.
“Untuk memberi keyakinan kepada orang ramai, ia adalah langkah yang bagus. Peralatan ini membolehkan penyeliaan yang lebih cekap terhadap tingkah laku pegawai dan pelaksanaan operasi di lapangan,” katanya.
-RI





