
Laporan/foto: Ali Imran/Amirul Amran (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Industri kelapa di Terengganu kini menerima suntikan RM1.28 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi meningkatkan pengeluaran dan keupayaan usahawan tani.

Hasil produk berasakan kelapa pandan.
Menurut Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Operasi) Hamidah Abdul Hamid berkata pelaburan strategik itu melibatkan hampir 37 usahawan tani yang mengusahakan tanaman kelapa pandan di kawasan seluas 248 hektar sejak 2021 hingga kini.
Usaha berkenaan telah membuahkan hasil apabila 60 peratus keperluan kelapa di Terengganu kini disumbangkan oleh pengusaha tempatan.
“Kemaman kini menjadi nadi pengeluaran kelapa pandan di Terengganu, dengan 344 hektar kawasan tanaman mewakili 15 peratus daripada keseluruhan 2,000 hektar kelapa di negeri ini,” katanya ketika berucap dalam Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 di Dewan Sri Geliga, Pejabat Pertanian Daerah Kemaman, di sini pada Ahad.
“Kelapa bukan sekadar makanan, ia adalah komoditi bernilai tinggi yang boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara berteknologi dan mampan,” katanya.

Pameran produk yang dapat dihasilkan daripada penanaman kelapa pandan.
Tahun lepas, Terengganu mencatatkan pengeluaran 17,400 metrik tan kelapa, namun produktiviti masih rendah, sekitar lapan metrik tan per hektar.
Dengan bantuan baharu itu, KPKM menyasarkan peningkatan kepada 15 metrik tan per hektar, sekali gus memenuhi permintaan domestik yang kian meningkat.
Selain produk asas seperti santan, turut diketengahkan iaitu potensi pasaran produk berasaskan kelapa seperti air nira, minyak kelapa dara, dan kosmetik seperti lipstik, yang mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar.
Dengan sokongan kerajaan dan kerjasama pelbagai agensi, industri kelapa Terengganu dilihat bakal melonjak ke satu tahap baharu bukan sahaja sebagai pengeluar utama, tetapi juga sebagai hab inovasi produk berasaskan kelapa di Pantai Timur.
-RI





