
Laporan/foto: Roslan Rungan/Mohd Yusof Muda (Kunak)
KUNAK, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Penduduk luar bandar yang belum memiliki akaun bank kini tidak lagi tercicir daripada menerima bantuan kerajaan menerusi kaedah penunaian secara tunai bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) terutama di kawasan pedalaman.

Sahid ketika ditemui media pada program penunaian STR di Kunak.
Program anjuran Pejabat Daerah Kunak itu mendapat reaksi positif penduduk setempat yang menyifatkannya sebagai sangat membantu terutama bagi golongan warga emas yang tidak mempunyai akaun bank persendirian.
Salah seorang penerima, Sahid Marman, 57, berkata inisiatif berkenaan memudahkan penerima bantuan luar bandar termasuk dirinya yang masih belum mempunyai akaun bank.
“Program ini terbaik dan memudahkan kami yang belum ada akaun bank, terutama di luar bandar. Pendekatan turun padang seperti ini amat dihargai kerana membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan rakyat di kawasan pedalaman.
“Bukan semua orang ada akses ke bank atau internet, jadi bila program macam ini dibawa terus ke kampung, kami rasa sangat dihargai,” katanya ketika ditemui semasa Program tersebut di Dewan Arena Belia Kunak di sini pada Ahad.

Kemudahan Kaunter Bergerak Bank Simpanan Nasional (BSN) yang disediakan bagi memudahkan urusan penunaian STR, kelmarin.
Perkhidmatan tersebut bermula seawal 7 pagi hingga 4 petang dengan pembukaan dua kaunter utama, iaitu kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi semakan senarai penerima serta kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk urusan penunaian STR.
Beberapa agensi kerajaan turut menyumbang kepada kelancaran program termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penerangan.
Pelaksanaan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam memastikan bantuan sampai kepada semua rakyat tanpa mengira lokasi, sejajar dengan prinsip keadilan sosial dan inklusiviti.
-RJ-






