Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Penghulu, Ketua Kampung Barisan Hadapan Sistem Keselamatan Komuniti

By 23 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Penghulu, Ketua Kampung dan pemimpin komuniti diiktiraf sebagai barisan hadapan dalam memperkukuh sistem keselamatan komuniti menerusi penganjuran Program Pemimpin Komuniti Penggerak Keselamatan Tahun 2025 Peringkat Daerah Batu Pahat, semalam.

Sesi forum Dialog Interaktif ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi keselamatan, pihak kerajaan dan pemimpin akar umbi dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Mohd Faizzudin Azmi berkata pemimpin komuniti memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat, pemantau situasi dan penghubung utama kepada pihak berkuasa dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing.

“Pemimpin komuniti adalah barisan hadapan dalam usaha mencegah ancaman keselamatan termasuk jenayah pecah rumah, penipuan atas talian, penyalahgunaan dadah serta isu kebanjiran warga asing dan ekstremisme,” katanya ketika berucap mewakili Pegawai Daerah Batu Pahat sempena perasmian program tersebut di Dewan Jubli Intan, Sultan Ibrahim, di sini.

Edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan kepada peserta program.

Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan komuniti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan selari dengan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang menekankan aspek keselamatan fizikal, sosial dan ekonomi secara holistik.

“Program berkenaan turut membuka ruang kepada perbincangan strategik antara pemimpin komuniti dan agensi penguatkuasaan dalam merangka tindakan kolektif ke arah komuniti yang lebih selamat, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.

Antara pengisian program ialah forum keselamatan, pameran keselamatan oleh Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat serta Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Turut hadir wakil Pengarah Keselamatan MKN Johor Mejar Che Mohd Yusnizan Che Wil, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis dan Perisikan Negara (MKN) Mejar Ahmad Nazree Salleh dan Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) negeri Johor Amy Lydia Adnan.

-RI

Tinggalkan komen anda