Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kualiti Perkhidmatan Penjawat Awam Bermula dari Kesihatan yang Baik

By 24 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rafezan Shawal/Siddiq Shuib (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 24 Jul (MalaysiaAktif) — Tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik dalam kalangan penjawat awam menjadi asas kepada peningkatan produktiviti serta keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad berkata penjawat awam yang sihat akan lebih bertenaga, fokus dan mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta memenuhi ekspektasi rakyat.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut@Ahmad (kanan) merasmikan Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera Negeri Johor di Blok A Wisma Persekutuan Johor Bahru

“Perkhidmatan awam yang cekap dan berkualiti hasil daripada penjawat awam yang sihat akan meningkatkan tahap kepuasan rakyat, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem perkhidmatan awam negara,” katanya.

Menurut beliau, pengurusan perkhidmatan awam perlu memberi penekanan terhadap aspek kesihatan penjawat awam melalui pelaksanaan program kesihatan yang berstruktur, penyediaan fasiliti yang mencukupi serta persekitaran kerja yang kondusif.

Dr Mohtar berkata aspek pemakanan yang sihat mempengaruhi pertumbuhan kesihatan yang optimum

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Perkarangan Blok A, Wisma Persekutuan Johor Bahru, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Mohtar berkata penganjuran program itu hasil saranan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menggesa agar inisiatif kesihatan seumpamanya diperluas ke seluruh negara bagi memberi manfaat secara langsung kepada golongan penjawat awam.

“Wisma Persekutuan Johor Bahru menempatkan pelbagai jabatan persekutuan di negeri ini, dan ia menjadi lokasi yang sesuai untuk melaksanakan program ini secara terus kepada para penjawat awam melalui pelbagai aktiviti dan ceramah kesihatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu telah memberi manfaat kepada hampir 500 penjawat awam persekutuan di Johor Bahru dalam usaha memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan optimum.

-AA-

Tinggalkan komen anda