Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Peserta GRIP Seronok Didedahkan dengan Kepelbagaian Budaya

By 24 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Peserta Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 teruja apabila dapat menyertai program sedemikian yang bukan sahaja dapat meningkatkan rasa cinta kepada negara malah mereka turut didedahkan dengan kepelbagaian budaya di Malaysia.

GRIP berteraskan modul silang budaya yang mengutamakan pengalaman pembelajaran secara langsung dan interaktif dengan penekanan terhadap nilai-nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya serta nilai sivik dan moral

Menurut salah seorang peserta GRIP Khairunnas Umran Md. Affandi, 14, beliau berpeluang merasai makanan dari pelbagai kaum di Malaysia dan mendapat ramai kenalan baharu di situ.

“Saya mencuba pisang bakar buat pertama kali yang mana makanan ini merupakan makanan Orang Asli dan rasanya sedap,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di Majlis Perasmian Penutupan GRIP Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, di sini, hari ini.

Tiga kluster utama disusun dalam GRIP iaitu Kluster Kenegaraan, Kluster Budaya dan Adat Resam serta Kluster Nilai-Nilai Murni

Selain mencuba pelbagai makanan dari kaum lain, Khairunnas yang berasal dari Perak itu turut didedahkan dengan pelbagai permainan tradisional.

“Saya juga dapat pengalaman bermain batu seremban dan congkak bersama kawan-kawan baharu di sini,” ujarnya.

Bagi Lee Guan Yew, 15, beliau juga seronok kerana dapat mengenali kepelbagaian budaya dan bangsa yang ada di negara ini menerusi program berkenaan.

“Saya dapat mempelajari nilai setiakawan dan saling bekerjasama walaupun kita berbeza bangsa dan agama, malah saya juga seronok kerana dapat mengenali rakan-rakan baharu dari kaum-kaum lain juga,” katanya yang berdarah campuran Cina dan India dari Selangor.

Program GRIP yang berlangsung selama tiga hari itu berteraskan modul silang budaya yang mengutamakan pengalaman pembelajaran secara langsung dan interaktif dengan penekanan terhadap nilai-nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya serta nilai sivik dan moral.

-AA-

Tinggalkan komen anda