Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiada Kes Penyakit Berkaitan Jerebu di Selangor

By 24 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan tiada kes penyakit berkaitan jerebu atau strok haba dilaporkan di negeri ini setakat Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin, berkata pemantauan kesihatan secara rapi tetap diteruskan bagi mengenal pasti sebarang penyakit yang lazim berlaku ketika cuaca berjerebu.

“Pemantauan ini penting memandangkan negara sedang berdepan Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan sehingga September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat rasmi dan terkini berhubung kualiti udara melalui portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan agensi berkaitan lain.

Dalam masa sama, katanya, Kerajaan Negeri memandang serius isu pembakaran terbuka yang menjadi punca utama pencemaran udara ketika musim kering.

“Pembakaran terbuka adalah kesalahan di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.

“Kompaun sehingga 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum juga boleh dikenakan,” ujarnya.

Jamaliah turut menyeru orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sama ada di kawasan perumahan, pertanian mahupun tanah lapang.

Menurutnya, jerebu boleh memberi kesan kesihatan serius terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit penyakit pernafasan kronik.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Hotline JAS Selangor di 1-800-88-2727 atau menerusi aplikasi eAduan JAS.

-RI

Tinggalkan komen anda