
Laporan/foto: Anita Omar/Andi Abdul Rohim (Manjung)
MANJUNG, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Memiliki sebuah rumah yang selesa dan selamat merupakan asas penting dalam membina keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang harmoni kerana rumah bukan sekadar tempat berteduh malah sebagai titik mulanya perkembangan insan yang positif dengan kejituan nilai murni.

Datuk Seri Saarani Mohamad ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14 Lekir
Justeru, satu majlis penyerahan kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14 Lekir di sini, adalah satu detik bermakna bagi penerima rumah yang kini dapat memulakan kehidupan baru dalam suasana lebih selesa.
“Rumah Perakku bagi projek Taman Perakku Batu 14 Batu Lekir, daerah Manjung menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam memperluaskan lagi pembangunan perumahan mampu milik di seluruh negeri,” kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya, semalam.

Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual bersama dengan media
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mempergiatkan kerjasama dengan pemaju dan agensi berkaitan demi memenuhi permintaan rakyat terhadap rumah mampu milik.
Namun, beliau berharap penerima rumah dapat menjaga dan memanfaatkan kediaman mereka sebaiknya serta menjadikannya tempat memupuk kasih sayang, nilai murni dan keharmonian, selaras dengan konsep Rumahku Syurgaku.
Bagi salah seorang penerima Rashidah Shafie, 36, memiliki kunci Rumah Perakku merupakan satu detik yang sangat bermakna dalam hidupnya.
“Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana akhirnya berjaya memiliki rumah ini selepas sekian lama menunggu. Ini adalah impian saya sejak dahulu, untuk memiliki tempat tinggal yang selesa dan tetap buat keluarga,” ujarnya.
Projek ini berjaya disiapkan dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 16 April tahun ini dengan harga jualan serendah RM85,000 seunit.
-AA-





