
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah melancarkan Malaysian Customs Import/Export Document System (MyCIEDS), sebuah platform digital berasaskan web yang mempermudah proses penghantaran dokumen sokongan bagi urusan import dan eksport secara lebih efisien.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pelaksanaan MyCIEDS sejajar dengan agenda nasional bagi meningkatkan tadbir urus perdagangan rentas sempadan dan daya saing negara
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pelaksanaan MyCIEDS sejajar dengan agenda nasional bagi meningkatkan tadbir urus perdagangan rentas sempadan dan daya saing negara.
“MyCIEDS bukan sahaja mempercepat semakan dan pelepasan barang melalui proses digital, malah mengurangkan ralat, meningkatkan ketelusan serta menjimatkan masa dan kos operasi,” katanya ketika merasmikan sistem itu di Hotel Holiday Villa, di sini semalam.

Sehingga kini lebih daripada 1,350 buah syarikat/ejen penghantaran yang terlibat dalam aktiviti import eksport di seluruh negara telah berdaftar sebagai pengguna MyCIEDS
Menurut beliau, sistem yang mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Januari 2025 itu kini telah didaftarkan oleh lebih 1,350 syarikat ejen penghantaran di seluruh negara.
Tambah beliau, MyCIEDS mampu menyumbang secara langsung kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kemudahan Berurus Niaga (Ease of Doing Business) serta menyokong pelaksanaan Ekonomi MADANI yang menekankan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“MyCIEDS adalah refleksi komitmen JKDM untuk terus relevan, tangkas dan berintegriti dalam dunia perdagangan global,“ ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia Mohammad Reezal Ahmad, Pengarah Kastam JKDM Negeri Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi dan Ketua Pengarah Operasi Technology Depositary Agency (TDA) Dr Sharoul Shambouri.
-AA-





