Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Festival Kraf Utara 2025 Perkasa Komuniti Seni Warisan di Perlis

By 26 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis

KANGAR, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 70 usahawan kraf tangan dari seluruh negara menyertai edisi ketiga Festival Kraf Utara 2025 (FKU25) di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis yang bermula 24 Julai sehingga 4 Ogos ini.

Festival yang memberi peluang kepada usahawan untuk memperluas jaringan kerjasama dan mempromosi hasil tangan mereka kepada khalayak yang lebih luas itu turut menjadi platform pemerkasaan komuniti kraf melalui pelbagai pengisian seperti pameran produk, demonstrasi kemahiran tradisional serta sesi perkongsian ilmu bersama masyarakat setempat.

Usahawan dari Kota Bharu di bawa khas sempena FKU25.

Menurut Pengarah Kraf Negeri Kedah Rosman Manan Salleh, festival ini memperlihatkan kepelbagaian bidang kraf yang masih subur dan relevan dalam kehidupan moden.

“Antara bidang yang ditonjolkan termasuklah kraf tekstil, hasil rimba, tanah liat, logam, serta pelbagai aneka kraf lain yang merupakan warisan budaya berzaman dan berpotensi tinggi dalam sektor ekonomi kreatif,” katanya.

Usahawan kraf hasil rimba Putri Iman Nadira Tajul Anuar, 24, dan pengusaha batik di Bazar Kota Bharu, Kelantan Siti Zaitun Mat Hussin, 45, berkongsi pandangan bahawa festival ini membuka ruang besar untuk memperkenalkan hasil seni masing-masing kepada generasi muda dan pelancong.

Festival yang bermula dari pukul 10.oo pagi sehingga 10.00 malam yang menyasarkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung mampu meningkatkan keyakinan serta semangat para penggiat seni tempatan.

Usahawan kraf muda ini, menumpukan bidang kraf hasil rimba.

Dengan penganjuran yang berterusan, Festival Kraf Utara bukan sahaja meraikan keindahan seni tradisi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina jati diri bangsa dan menyemarakkan industri kraf tempatan sebagai sebahagian daripada naratif ekonomi budaya negara sekali gus membuktikan bahawa minat terhadap kraf tempatan masih tinggi dan mampu menjadi pemangkin ekonomi setempat.

Dalam masa yang sama, ia mengangkat seni kraf sebagai satu warisan hidup yang terus bernyawa dan diwarisi kepada generasi akan datang.

Antara yang akan mencuri tumpuan di festival ini nanti, antaranya adalah persembahan wau cahaya, Hari Berbusana dan menaiki choley.

-RI

Tinggalkan komen anda