
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Ammar Hasif (Perak)
IPOH, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Ulat buku dan pencinta sejarah kini berpeluang untuk menyingkap antara sejarah penting Negeri Perak di Hulu Perak bermula dari Zaman Prasejarah sehinggalah Zaman Moden melalui naskhah buku bertajuk ‘Warisan Sejarah Hulu Reman – Hulu Perak’.

ANM Negeri Perak turut mengadakan pameran.
Buku yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) telah dilancarkan di Majlis Peluncuran Buku Warisan Sejarah Hulu Reman – Hulu Perak anjuran bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) dan PSM di Dewan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, di sini kelmarin.
“Buku ‘Warisan Sejarah Hulu Reman – Hulu Perak’ yang mengandungi empat bab ini, iaitu Bab 1 – Warisan Sejarah, Bab 2 – Warisan Zaman Sejarah, Bab 3 – Pertikaian Pramoden dan Bab 4 – Hulu Perak Zaman Moden adalah contoh bagaimana sejarah sesebuah daerah, kampung dan mukim boleh memberikan perspektif yang lebih kaya, lebih dekat dengan jiwa masyarakat dan lebih menyeluruh dalam memahami pembentukan negara kita,” ujar Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman ketika ucapan perasmian,
Tambahnya, penulis telah menggunakan bahan arkib iaitu Correspondence Respecting the Rectification of the Boundary between Perak and Siam.
“Bahan arkib tersebut mengandungi surat, fail dan rekod memorandum pihak Foreign Office dan Colonial Office.

Khalayak kelihatan sangat berminat dengan kupasan buku tersebut.
“Ini adalah satu contoh yang amat baik dan wajar dijadikan inspirasi, bagaimana sumber-sumber primer yang tersimpan di Arkib Negara boleh disebarluaskan kepada masyarakat,” katanya.
Buku ini merangkumi empat bab dengan ketebalan 526 muka surat kini boleh didapati di pasaran dengan Harga RM60.
Orang ramai yang ingin mendapatkan naskah tersebut boleh melayari aplikasi Shopee di gedung PSM Bookstores.
-RI





