
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Suasana malam Kota Tinggi bertukar ceria dan berwarna-warni apabila lebih 500 peserta menyertai Larian Sarong Kota Tinggi sejauh 2.5 kilometer sempena Program Jelajah Orang Johor (JOJ) Johor Lama yang berlangsung di sini, malam tadi.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Larian Sarong Kota Tinggi sempena Program JOJ Johor Lama
Dengan tema Sarong Kebanggaan Kita, larian santai itu menyaksikan peserta tampil bergaya mengenakan pelbagai corak sarong tradisional, sekali gus menyerlahkan elemen budaya tempatan dalam suasana penuh harmoni.
Seorang peserta, Nurmira Matseh, 30, meluahkan rasa teruja kerana acara seumpama itu pertama kali diadakan di Kota Tinggi dan membawa pendekatan yang unik.

Afiq Hafizi, 21, berkata larian sarong ini dapat mengeratkan silaturrahim dalam suasana penuh warna warni dan nilai tradisi
“Seronok sangat kerana semua pakai sarong ikut tema. Kita berlari sambil bersatu hati, memang sampai mesej program untuk membudayakan Jelajah Orang Johor,” katanya.
Bagi Afiq Hafizi, 21, suasana santai serta semangat kekitaan antara peserta menjadikan pengalaman ini sesuatu yang istimewa.
“Program ini memang menarik. Kita bukan saja berlari, tapi dalam masa yang sama dapat eratkan silaturrahim dalam suasana penuh warna-warni dan nilai tradisi selain menyihatkan badan,” ujarnya.
PProgram siri kedua jelajah anjuran kerajaan negeri itu bertujuan mendekati rakyat secara langsung, menyampaikan dasar dan inisiatif semasa selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam gaya hidup sihat dan aktiviti berteraskan budaya.
-AA-





