Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Pengakap Eratkan Persahabatan Melalui Koleksi Barangan Eksklusif

By 27 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

MUAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Minat mendalam terhadap dunia pengakap telah mendorong seorang pendidik dan penggiat aktif Pengakap Negeri Johor mengumpul ratusan barangan pengakap dari dalam dan luar negara sejak lebih sedekad lalu.

Khairil Anuar turut menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai gerakan pengakap kerana ia bukan sahaja membentuk jati diri, malah membuka peluang untuk menyertai program bertaraf antarabangsa

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor (Unit Pengakap Muda) Khairil Anuar Mosmin yang kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perhentian, berkata minat itu mula berputik pada 2014 ketika menyertai Jambori Pengakap di Perak.

“Dari situ saya mula teruja mengumpul barangan pengakap. Saya kumpul uniform, skarf, lencana, selimut dan pelbagai barangan lain.

“Setakat ini, saya sudah mempunyai lebih 180 uniform dan lapan selimut penuh lencana,” katanya ketika ditemui di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah, di sini semalam, sempena program Bakti Komuniti Madani anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Tambahnya, penyertaan dalam Jambori Dunia di Jepun pada 2015 menjadi antara titik penting penglibatannya apabila beliau membawa 30 koleksi uniform sebagai bahan pameran dan pertukaran.

Majoriti barangan yang dimiliki oleh Khairil Anuar bukan dibeli, tetapi diperoleh hasil pertukaran dengan rakan pengakap lain dari seluruh dunia

Apa yang menarik, ujar Khairil Anuar, majoriti barangan yang dimiliki bukan dibeli, tetapi hasil pertukaran dengan rakan pengakap lain dari seluruh dunia.

“Kami biasanya berhubung melalui Facebook dan media sosial lain. Dari situ, kami bertukar uniform, skarf atau lencana sesama sendiri. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah membuka peluang untuk mengenali budaya dan sahabat baharu,” jelasnya.

Antara koleksi paling istimewa dalam simpanannya ialah sehelai baju rasmi Jambori Dunia keluaran Pengakap United Kingdom yang sepatutnya digunakan untuk jambori di Iran, namun acara tersebut dibatalkan.

Beliau turut berpesan kepada peminat dan pengumpul koleksi barangan pengakap agar tidak hanya mengejar jumlah atau keunikan item, sebaliknya menjadikan ia sebagai medium mengeratkan hubungan.

“Kita bukan hanya kumpul barang, tapi kita kumpul persahabatan. Inilah semangat sebenar pengakap, menjalin hubungan, berkongsi pengalaman dan belajar antara satu sama lain,” katanya.

Khairil Anuar turut menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai gerakan pengakap kerana ia bukan sahaja membentuk jati diri, malah membuka peluang untuk menyertai program bertaraf antarabangsa.

-AA-

Tinggalkan komen anda