Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perlis Perkukuh Tanggungjawab Sivik Demi Keselamatan dan Perpaduan Negara

By 28 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Komitmen negeri Perlis dalam memperkukuh keselamatan dan perpaduan negara terus dizahirkan melalui penganjuran Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, sempena Pesta Buku Perlis 2025, kelmarin.

Program yang menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil agensi kerajaan, pasukan keselamatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai manifestasi pendekatan inklusif dalam membudayakan nilai keselamatan sosial dan keharmonian nasional di peringkat akar umbi.

Fokus utama sesi townhall ini adalah menyentuh cabaran keselamatan semasa, ancaman digital serta peranan tanggungjawab sivik rakyat dalam pembinaan negara bangsa yang bersatu dan berdaya tahan.

Tiga sesi ceramah disampaikan oleh tiga agensi iaitu Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis berkaitan keselamatan dan perpaduan.

Sesi soal jawab bersama peserta berkaitan keselamatan sempadan negara.

Insp Fatin Hazwani Zulkiflee menekankan bagaimana penyalahgunaan platform media sosial boleh menggugat kesejahteraan masyarakat serta isu penyebaran berita palsu termasuklah ucapan kebencian serta provokasi berunsur perkauman dan keagamaan.

“Masyarakat diseru agar menjadi pelapor aktif terhadap kandungan berunsur hasutan dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan kesahihannya,” ujarnya sambil berkongsi beberapa kes sebenar berkaitan penyalahgunaan media sosial serta langkah pemantauan siber oleh pihak PDRM.

ASP Noorulazanni Muhammad Nor dari MKNPerlis pula menyampaikan ceramah bertajuk Ancaman ke Aman: Peranan Masyarakat dalam Keselamatan Nasional.

Dalam sesi kedua ini, komuniti digesa agar berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan terutama dalam menangani cabaran ekstremisme digital dan penyebaran maklumat palsu selain memperkukuh strategi respon komuniti serta menyemai semangat kebersamaan pasca krisis untuk mempertingkat ketahanan sosial negara.

Majlis diakhiri dengan sesi ceramah ketiga bertajuk Kempen Internet Selamat oleh Mohd Izwan Ismail dari MCMC.

Program itu jelas memperlihatkan tekad berterusan kerajaan negeri dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan perpaduan menerusi pendekatan berfakta, berpandangan jauh dan berasaskan nilai MADANI.

-AA-

Tinggalkan komen anda