
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Perkongsian berkaitan dunia keusahawanan antara topik yang diketengahkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah bagi memenuhi aspirasi Komuniti MADANI yang berdaya saing.

Leeni ketika menyampaikan taklimat mengenai keusahawanan kepada peserta program.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Serudung Baru, Leeni Simon berkata ilmu serta selok belok dalam bidang keusahawanan wajar didedahkan kepada komuniti sebagai pemangkin untuk meningkatkan taraf hidup.
“Jangan tunggu peluang datang bergolek yang mana kita sendiri perlu mencipta peluang dan pastinya melalui keusahawanan, ilmu yang diperolehi akan dijadikan sebagai alat untuk kita berdikari dan mencipta perubahan.
“Komuniti luar bandar juga mampu berjaya, tidak ada yang mustahil di mana ada kemahuan, ilmu dan sokongan, perniagaan kecil pun boleh jadi besar,” katanya ketika menyampaikan taklimat Keusahawanan semasa Program Jiwa Komuniti MADANI: Sembang Santai Bil. 2 di Shan Shui Golf & Resort, di sini pada Ahad.

Azuary ketika menyampaikan taklimat isu-isu dan dasar kerajaan.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis menyeru agar rakyat untuk lebih cakna terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan dalam pelbagai bidang khasnya ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam.
Tegasnya, program anjuran JAPEN akan mengutamakan hak dan tanggungjawab rakyat untuk bersama membanteras penyebaran maklumat yang tidak sahih sekali gus membentuk masyarakat yang berintegriti.

Bahan penerbitan turut diedarkan oleh pegawai Pejabat Penerangan Daerah Tawau.
“Kerajaan sentiasa komited membela nasib rakyat, namun rakyat juga perlu cakna dan ambil tahu dasar yang dirangka untuk mereka. Kalau kita hanya ikut apa yang ditularkan tanpa semak maklumat sebenar, kita akan keliru. Program seperti ini penting untuk betulkan persepsi dan salurkan info yang sahih.
“Program seperti ini turut membuka ruang komunikasi dua hala menerusi sesi soal jawab interaktif, membolehkan peserta melontarkan pandangan dan pertanyaan secara terbuka dan JAPEN sentiasa menyediakan bahan penerbitan mengenai dasar kerajaan sebagai rujukan kepada komuniti,” katanya.
-RJ-





