Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Jati Perlis Pemangkin Pembangunan Ekonomi, Ekopelancongan dan Warisan Negeri

By 29 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

PADANG BESAR, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa Jati Perlis sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, ekopelancongan dan menjadi warisan negeri.

Baginda memperkenan sekiranya industri berasaskan jati bukan sahaja boleh membawa nilai ekonomi yang tinggi tetapi juga memartabatkan identiti Perlis sebagai negeri yang kaya dengan khazanah alam dan sejarah perhutanan.

Tuanku Raja Perlis berkenan melawat reruai pameran di majlis tersebut

“Jati Perlis perlu terus diperkukuh dan diposisikan setaraf dengan produk ikonik lain seperti Harum Manis.

“Beta percaya, pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) akan memberikan kelebihan pasaran dan menjadikan produk ini kebanggaan rakyat Perlis,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Geowarisan Se-Jati 2025 di Teak Eco Park, Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer, di sini semalam.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Dato Rahimi Ismail dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Ismail Haji Parlan.

Baginda turut menitahkan Perlis merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang memperkenalkan tanaman jati sejak tahun 1953 dan usaha hari ini dilihat sebagai kesinambungan penting bagi memanfaatkan potensi sumber alam itu secara lestari.

Pasar Geowarisan telah berjaya menarik seramai 3,000 orang pengunjung

Baginda juga menzahirkan keyakinan sekiranya sektor berkenaan akan membantu menjana pendapatan komuniti setempat melalui kraftangan, produk hiliran berkualiti serta aktiviti pelancongan alam semula jadi bawah Geopark Perlis.

“Saya menyeru agar usaha ini terus diperkukuhkan dengan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), para pengusaha dan juga komuniti setempat,

“Semoga segala usaha yang digerakkan mendapat keberkatan agar Jati of Perlis dapat diketengahkan sebagai kebanggaan rakyat Perlis seumpama dengan Harum manis,” titah baginda.

Program anjuran FRIMJabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung termasuk wakil-wakil agensi kerajaan, pihak industri, para pengusaha industri kecil sederhana, pelajar serta komuniti tempatan.

Antara pengisian program termasuk pameran produk kraf berasaskan jati (Tectona Grandis), demonstrasi kraf kayu, forum perkongsian industri, sesi padanan perniagaan serta aktiviti ekopelancongan.

-AA-

Tinggalkan komen anda