
Laporan/foto: Zayana Isa/Izzat Rahman (Pahang)
KUANTAN, 30 Jul (MalaysiaAktif) – Ikrar Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan keharmonian Malaysia sudah sebati dan meniti di bibir murid-murid Tabika Perpaduan.

Silibus Tabika Perpaduan bukan sahaja menekankan aspek pembelajaran asas seperti membaca, menulis dan mengira, tetapi juga menyelitkan nilai moral dan sivik
Menurut Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pahang Amirah Abdullah, ikrar Rukun Negara merupakan modul yang terkandung dalam inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bagi memantapkan lagi peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak.
“Melalui Modul Penghayatan Rukun Negara, setiap pagi kanak-kanak tabika ini akan membaca ikrar Rukun Negara sebelum sesi pembelajaran,” katanya kepada Malaysia Aktif semasa rakaman program Influencer@JAPEN, di sini, semalam.
Amirah berkata Tabika Perpaduan merupakan institut pendidikan awal kanak-kanak dalam memperkembangkan potensi serta melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Amirah (berdiri dua dari kanan) bersama kanak-kanak Tabika Perpaduan Chenderawasih Timur 1 & 2, Kuantan
“Tabika Perpaduan mengutamakan kepelbagaian kaum yang mana ia menempatkan kanak-kanak dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan etnik lain dalam satu kelas.
“Ini memberi ruang dan peluang untuk kanak-kanak belajar berinteraksi dengan rakan berbeza latar belakang, menerapkan nilai hormat-menghormati dan kerjasama dan sekaligus menunjukkan peningkatan interaksi positif antara kaum di kalangan murid, terutama dalam aktiviti berkumpulan dan sambutan perayaan pelbagai budaya,” tambahnya.
-AA-





