
Laporan/ Foto : Norlia Mili/ Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi UNIMAS (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 118 pelajar Tingkatan 5 dari empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No. 1, SMK Gedong, SMK Sebuyau dan SMK Sri Sadong menghadiri program kolaboratif anjuran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan di UNIMAS, semalam.

Barisan tenaga pakar UNIMAS, PPD Simunjan dan fasilitator yang berganding tenaga membimbing para pelajar.
Program bertujuan mempertingkatkan pencapaian Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar luar bandar itu memfokuskan teknik berfikir aras tinggi (KBAT) dan motivasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui ceramah motivasi dan teknik berfikir.
Pihak UNIMAS ketika dihubungi memaklumkan bahawa Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit menyifatkan program tersebut sebagai langkah memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendidikan, selari dengan visi UNIMAS sebagai Community Driven University for a Sustainable World.

Dr Ahmad Hata menyampaikan ucapan perasmian Program Kolaborasi Peningkatan Prestasi Bahasa Melayu Pelajar Tingkatan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Eileen Jessie Ah Guan menyokong penuh inisiatif tersebut dan menyeru agar kolaborasi seperti itu diteruskan bagi mengatasi jurang pendidikan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.
“Program ini bukan sahaja merintis ruang kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan sekolah, malah menjadi medan pertukaran pengalaman, idea, kreativiti serta inovasi dalam bidang pendidikan,” menurut Eileen yang turut hadir.

Eileen selaku wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak turut menyampaikan ucapan pada program tersebut.
Majlis perasmian disempurnakan Ahmad Hata. Turut hadir Dekan FPBK UNIMAS Dr Dilah Tuah dan Pegawai PPD Simunjan Hasbi Ancheh.
-RJ-





