
Laporan/foto : Norlia Mili/ Abdul Hakeem Well (Sarawak)
KUCHING, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan 39 projek naik taraf tamu rakyat pada tahun lepas dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.85 juta di bawah Projek Pembangunan Premis Tamu Desa di Sarawak.

Ewon tertarik melihat hasil hutan yang dijual di salah satu gerai ketika mengadakan lawatan ke Tamu Desa Sungai Apong.
Menterinya, Datuk Ewon Benedict berkata pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkasa ekonomi komuniti luar bandar serta menggalakkan penyertaan aktif usahawan kecil dalam sistem ekonomi setempat.
“Pelaksanaan projek tersebut berjalan lancar dan dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang terlibat,” tambahnya ketika ditemui selepas melawat tapak Pasar Tamu Desa Pasar Sungai Apong, di sini semalam.

Hasil hutan yang dijual Diana, semalam.
Salah seorang peniaga yang ditemui, Diana Edwin, 27, berkata tamu desa yang baharu itu menyediakan tapak yang selesa, bersih dengan turut disediakan rak untuk mempamerkan barangan jualan mereka.
“Selain itu, sewa tapak niaga juga amat berpatutan bagi kami peniaga kecil di sini,” ujar beliau lagi yang telah berniaga hasil hutan di Tamu Desa Pasar Sungai Apong sejak lima tahun yang lalu.

Zainudin ditemui ketika sedang membeli sayuran di Pasar Tamu Desa Pasar Sungai Apong.
Manakala bagi Mohd Zainudin, 32, yang tinggal berdekatan dengan tamu tersebut dan sering membeli sayuran hasil hutan mahupun hasil laut berpendapat tapak tamu baharu sekarang lebih luas, teratur dan bersih.
“Tidak perlu ke pasar atau tamu di lokasi lain, tamu ini sudah memenuhi keperluan kami yang tinggal di sekitar sini apatah lagi keadaannya yang amat selesa untuk dikunjungi,” jelas Zainuddin.
-RJ-





