
Laporan/foto: Azrul Abdullah (Padang Terap)
ALOR SETAR, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 20 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama (SKSKL) ‘menggegar’ Kedah Bowl, City Plaza di sini apabila menyertai satu sesi terapi permainan boling, kelmarin.

Pelajar membuat senaman ringan bersama Asmunir.
Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Intergrasi SKSKL Asmunir Ibrahim berkata program itu memberi peluang kepada pelajar untuk melatih kemahiran koordinasi tangan dan mata, menggalakkan interaksi sosial serta meningkatkan keyakinan diri di kalangan mereka.
“Kita mahu pelajar merasa dihargai dan diberi peluang untuk meneroka pengalaman baru. Aktiviti seperti ini mampu mencetuskan rasa gembira dan semangat kerjasama sesama mereka,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Program kendalian guru-guru PPKI itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkeperluan khas dalam suasana pembelajaran luar bilik darjah yang lebih santai serta menyeronokkan.
Selain itu, ia turut berfungsi sebagai terapi motor kasar dan sosial untuk membantu perkembangan emosi dan fizikal pelajar.

Pelajar PPKI SK Sungai Korok Lama bergambar bersama bola boling sebelum membuat balingan.
Sepanjang sesi berlangsung, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan dibimbing oleh guru mengenai cara memegang bola, membidik pin dan bersorak memberi sokongan kepada rakan.
Seorang pelajar, Daniel Mikail, 5, teruja selepas berjaya menjatuhkan beberapa pin bowling dan menerima pujian daripada guru serta rakan-rakan.
Program berkenaan mendapat sambutan positif daripada ibu bapa yang menyifatkan inisiatif itu sebagai satu usaha yang progresif dan inklusif dalam mendidik anak-anak istimewa.
-RI





