Skip to main content
Berita TempatanSabah

Semangat Patriotisme Menyala di Hati Rakyat Sabah

By 3 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abdul Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 3 Ogos (MalaysiaAktif) – Semangat cinta akan tanah air jelas terpancar di wajah rakyat Sabah pelbagai lapisan yang menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 peringkat negeri, di sini pada Jumaat.

Hajiji menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil agensi kerajaan sebagai simbol penyatuan dan semangat kebangsaan.

Majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu menjadi pentas penyatuan rakyat berbilang kaum dan latar belakang, yang datang bukan sekadar untuk menyaksikan acara rasmi tetapi menghayati erti kemerdekaan dalam erti kata sebenar.

Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran seorang individu orang kurang upaya (OKU) yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lam yang menempuh perjalanan dari Menggatal semata-mata untuk turut serta meraikan detik bersejarah itu.

“Saya bersemangat sebab negara kita aman, makmur dan harmoni. Saya tahu tentang majlis ini melalui Facebook dan terus ambil keputusan datang sendiri. Ini kali pertama saya hadir, dan saya harap orang ramai juga semangat macam saya, kibarkan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Arusinah turut berkongsi pandangan mengenai pentingnya penghayatan erti kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.

Bagi guru sejarah dari Sekolah Menengah Maktab Sabah, Arusinah Alilull yang telah berkhidmat selama 26 tahun, program seperti itu memainkan peranan besar dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

“Secara tidak langsung ini menyemai benih-benih semangat sayangkan negara, menghormati pemimpin dan mempertahankan negara bila masa diperlukan. Generasi muda perlu mempunyai semangat sayangkan negara kerana mereka adalah pemimpin pada masa hadapan.

“Kita sebagai masyarakat yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan sepatutnya kenang apa yang telah terjadi sebelum ini. Pengorbanan pemimpin-pemimpin dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan itu bukannya sesuatu yang mudah.

“Kita lahir dalam era merdeka, sepatutnya kita kenang pengorbanan pemimpin dahulu. Kita perlu bersyukur dan mempertahankan negara yang kita cintai ini,” ujarnya.

Melville menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperkukuh semangat patriotisme terutama di kalangan pelajar melalui penganjuran program seumpama ini.

Turut berkongsi rasa bangga ialah pelajar Sekolah Menengah Maktab Sabah, Melville Kent Mourice, 15, yang mewakili sekolah ke majlis itu berpendapat peluang untuk menghadiri pelancaran berkenaan memberikan kesedaran yang mendalam tentang nilai kemerdekaan.

“Saya berasa amat berbangga sebab menjadi rakyat Malaysia dan dapat mewakili sekolah ke majlis ini. Program seperti ini perlu diteruskan kerana ia membangunkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, terutama pelajar.

“Program seperti ini harus diperluaskan agar lebih ramai lagi pelajar, khususnya dapat merasai semangat yang sama di program ini dan menyokong usaha kerajaan menyemarakkan bulan kemerdekaan,” katanya.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pelbagai persembahan berunsur patriotik, penyampaian Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG).

-RJ-

Tinggalkan komen anda