
Laporan/foto: M Zakry Chan
PAYA RUMPUT, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Krubong Heights Fasa 1, di sini menyahut saranan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil agar seluruh rakyat Malaysia menyokong Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai simbol cinta akan negara dan lambang perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Penduduk Taman Krubong Heights menjayakan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Menurut Ahli Jawatankuasa KRT Mohamad Hafiz Abd Aziz, 37, sebanyak 500 helai Jalur Gemilang akan dipasang di seluruh kawasan taman perumahan itu melibatkan 222 buah rumah.
“Sambutan penduduk amat mengalakkan apabila mereka sanggup menyumbang wang ringgit dan tenaga bagi menjayakan inisiatif ini untuk menaikkan lagi semangat patriotisme,” ujarnya kelmarin.

Penduduk Taman Krubong Heights bergotong royong memasang Jalur Gemilang.
Penduduk Mohd Nazmi Sulaiman, 37, berkata selain dapat membangkitkan rasa cinta kepada negara, program itu juga mampu mengeratkan lagi hubungan kejiranan dan memupuk kerja-kerja kesukarelawan dalam komuniti.
“Semua pemimpin masyarakat sama ada di peringkat bawah hingga ke atas harus memainkan peranan bagi menjayakan kempen ini, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata, kita sendiri harus menjadi pengerak kepada perubahan,” ujarnya.
-RI





