Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Lancar Kerangka RSTU

By 5 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)

SHAH ALAM, 5 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor melakar sejarah baharu dalam landskap pentadbiran negeri dengan pelancaran rasmi Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU), satu inisiatif utama menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Peserta mengibarkan Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang yang turut disusuli dengan Majlis Pelancaran Tekad Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor

RSTU bertujuan memperkukuh tadbir urus, mempercepat proses perkhidmatan dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha reformasi itu merupakan langkah strategik menyeluruh ke arah memperkasa penyampaian perkhidmatan awam negeri melalui penambahbaikan sistem, penstrukturan semula organisasi serta pemerkasaan peranan di semua peringkat.

“Terdapat lapan fokus utama dalam kerangka ini iaitu tadbir urus berintegriti, reformasi penyampaian, pemecahan budaya silo, penambahbaikan sistem aduan, pembangunan modal insan berdaya saing, pemerkasaan akar umbi, pengukuhan agensi daerah hingga kepada sistem pemantauan berasaskan hasil,” katanya.

Antara sebahagian penjawat awam yang hadir ke perasmian Majlis Pelancaran Tekad Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Tekad RSTU Negeri Selangor, yang turut disusuli Perhimpunan Penjawat Awam Negeri dan perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Tambahnya, pendekatan itu bukan sahaja menekankan kelajuan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, malah memastikan ia kekal selari dengan prinsip tatakelola yang telus dan berintegriti.

Dalam ucapannya, Amirudin menyeru agar prinsip islah iaitu usaha memperbaiki dan menambah baik sistem sedia ada, dijadikan asas dalam perkhidmatan kerajaan bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.

-RI

Tinggalkan komen anda