
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Ogos (MalaysiaAktif) – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis sentiasa komited dan konsisten dalam mempromosikan agenda kesihatan kepada komuniti termasuk menerusi penganjuran Karnival Sihat Milik Semua dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyertai kayuhan basikal sempena Program Karnival Sihat Milik Semua.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata aktiviti jangkau luar (outreach) sentiasa dilaksanakan secara bersepadu oleh semua JKN termasuk Perlis merupakan antara usaha murni Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan MADANI.
“…ia bagi Merakyatkan Perkhidmatan Kesihatan seterusnya menjamin tahap ketercapaian perkhidmatan dan kesaksamaan individu yang boleh dibanggakan,” katanya ketika berucap di majlis perasmian karnival berkenaan yang disempurnakan Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan 2020, di sini semalam.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Beliau berkata JKN Perlis mempunyai wawasan hebat untuk menjadi Peneraju Transformasi Sistem Kesihatan Negara dan sentiasa berusaha untuk menjadi role-model kepada JKN lain termasuk jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti.

Tuanku Raja Muda Perlis berkenan mendengar penerangan di reruai pameran yang diadakan.
“Antaranya, pada tahun 2024, posting media sosial JKN Perlis, pelaksanaan menerusi Wellness Hub dan Wellness on Wheels berjaya merekodkan 2.5 juta reach secara keseluruhan dan telah menganjur sebanyak 160 sesi FB Live yang mencapai lebih 700,000 tontonan dalam kalangan komuniti maya.
“Saya juga menghargai kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Rahimi Ismail yang bersama-sama JKN meningkatkan tahap kesihatan penjawat awam di Perlis dalam menyokong usaha pelaksanaan ANMS sejak tahun 2022 melalui pewujudan Jawatankuasa ANMS Negeri,” katanya.
Penganjuran Karnival Sihat Milik Semua selari dengan ANMS bertujuan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serta mendokong aspirasi program jangkau luar MADANI Afiat yang menekankan kepada kesejahteraan menyeluruh melalui pendekatan kesihatan yang holistik, inklusif dan berteraskan komuniti.
Ia bukan sekadar program berteraskan kesihatan, tetapi satu usaha holistik merangkumi aspek fizikal, mental, rohani dan sosial yang turut selari dengan halatuju dan wawasan negeri Perlis di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Karnival berkenaan dianjurkan secara kolaborasi strategik oleh JKN Perlis dengan kerjasama Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis (YATHB) dan kerajaan negeri Perlis adalah antara program sisipan sempena Sambutan Jubli Perak (25 tahun) Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis.
-RI





