Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

JKKN Pahang Cungkil Bakat Pewaris Muzik Gamelan

By 10 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)/JKKN Pahang

KUANTAN, 10 Ogos (MalaysiaAktif) – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri Pahang giat mencungkil bakat pewaris muzik gamelan melalui Program Pencungkilan Bakat Seni Pahang 2025.

Antara peserta yang menampilkan persembahan memukau.

Menurut Pengarah JKKN Pahang Mohd Rizal Ismail selain mencungkil bakat baharu, pertandingan yang dianjurkan itu turut mengangkat martabat muzik tradisional.

“Pertandingan ini menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan penggiat muzik gamelan, di samping memperkenalkan sejarah, keunikan dan keistimewaan warisan seni ini kepada generasi muda,” katanya kepada media di Pertandingan Muzik Gamelan Melayu, di sini semalam.

Ujarnya lagi, pertandingan itu juga bertujuan melahirkan generasi pelapis seni muzik gamelan yang berkemahiran tinggi, sekali gus memastikan kesinambungan warisan muzik tradisional terus terpelihara.

JKKN Pahang turut menganjurkan Perantisan Seni Budaya Negeri dan program bimbingan yang mengetengahkan muzik gamelan sebagai subjek seni melalui kelas yang diadakan setiap hujung minggu di Kompleks JKKN Pahang.

“Gamelan Melayu adalah Sounds of Pahang yang mencerminkan jiwa dan identiti negeri, kita bukan sahaja memperdengarkan keindahan bunyi gamelan, tetapi juga mengangkatnya sebagai warisan seni yang harus dibanggakan,” katanya.

Sebanyak sembilan kumpulan mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan melibatkan kumpulan gamelan daripada negeri Pahang, Selangor, Johor dan Kelantan dengan menawarkan hadiah wang tunai dan sijil penyertaan.

-RI

Tinggalkan komen anda