
Laporan/foto: Armizie Hanazifs Ahmad (Pendang)
PENDANG, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Walaupun usia semakin meningkat, semangat patriotik dalam kalangan warga emas terus membara apabila mereka bergandingan bahu memeriahkan sambutan meraikan bulan kebangsaan.
Program di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Pendang, di sini semalam melibatkan lebih 70 peserta itu dimulakan dengan aktiviti senaman dan dimeriahkan dengan perarakan Jalur Gemilang.
Acara seterusnya disusuli pelbagai pertandingan berunsur patriotik seperti sajak, pantun, kuiz kemerdekaan, taklimat dan sesi sembang santai.

Para peserta bersedia untuk mengikuti perarakan Jalur Gemilang.
Pengerusi PAWE Pendang Mohamad Mohd Isa berkata penganjuran program itu bukan sahaja pengisian bulan kebangsaan tetapi sebagai medium menyatukan Komuniti MADANI Pekan Pendang khususnya warga emas sambil terus menghidupkan rasa cinta kepada negara.
“Warga emas adalah generasi yang pernah melalui zaman awal kemerdekaan di mana mereka bukan sahaja mengingati sejarah tetapi turut menjadi saksi kepada perubahan negara,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Menurut salah seorang peserta, Mariha Yahaya, 63, program sebegitu mengembalikan zaman mudanya ketika menyambut Hari Kebangsaan di mana ia disemarakkan dengan perarakan membawa Jalur Gemilang mengelilingi kampung.
“Dulu kami sambut dengan perarakan keliling kampung melibatkan pelbagai lapisan umur, tetapi hari ini di PAWE pun suasananya sama meriah walaupun hanya melibatkan warga emas,” ujarnya.
Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim ketika menyampaikan taklimat ‘Bentuk Penjajahan Baharu’ berkata bahawa walaupun negara telah lama bebas daripada penjajahan fizikal, kini wujud bentuk penjajahan moden yang lebih halus seperti penjajahan ekonomi, budaya, teknologi dan minda.

Sebahagian peserta dalam sesi taklimat bersama Pejabat Penerangan Daerah Pendang.
“Ancaman hari ini datang melalui pengaruh media sosial yang tidak terkawal dan kebergantungan terhadap teknologi luar yang akan mengakibatkan generasi akan datang hilang jati diri dan semangat patriotisme jika tidak dikawal sebaiknya,” ujarnya.
Menurutnya penganjuran program itu membuktikan semangat kemerdekaan tidak mengenal usia di mana warga emas terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai pengorbanan pejuang terdahulu, mengekalkan perpaduan dan mengisi kemerdekaan dengan perkara yang membina.
Sepanjang program berlangsung, para peserta kelihatan begitu bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik telah membuktikan kejayaan usaha menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
-RI






