
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
ROMPIN, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat di negeri itu mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Wan Rosdy mahu rakyat di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang taat setia kepada tanah air.
Wan Rosdy berkata mengibarkan Jalur Gemilang merupakan lambang kasih kepada negara dan sambutan Bulan Kebangsaan juga adalah ruang untuk mengingati kembali sejarah perjuangan.
“Kibarkanlah Jalur Gemilang di setiap rumah, sekolah, pejabat, kedai serta jalan-jalan utama utama sebagai tanda sumpah setia untuk terus mempertahankan tanah air,” katanya sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Muadzam Shah, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Rubaayah Osman (kiri) turut hadir.
Katanya tema sambutan HKHM tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ sangat dekat dengan gagasan ‘Aspirasi Pahang 1st’ yang diperkenalkan pentadbirannya.
“Menerusi Aspirasi Pahang 1st, kerajaan negeri mahu pembangunan yang menyantuni rakyat secara menyeluruh tanpa mengira tempat tinggal atau latar belakang rakyat,” katanya.
Lebih 1,000 penduduk membanjiri dataran berkenaan dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah dan persembahan artis.
-RI





