
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Majlis Himpunan Muslimah Tawau 2025 menjadi platform memperkukuh peranan wanita muslimah dalam masyarakat sekali gus memperluas jaringan kerjasama antara penggerak dakwah tempatan dan antarabangsa.

Ustazah Marhamah memberikan ceramah semasa program berlangsung.
Majlis yang diisi dengan ceramah motivasi, forum keagamaan dan sesi perkongsian isu semasa itu juga menjadi titik pertemuan penting memperkukuh perpaduan dan suara kolektif wanita muslimah.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal berkata inisiatif sedemikian bukan sahaja mengukuhkan ilmu keagamaan, malah menjadi wadah memperjuangkan isu-isu dekat di hati wanita, khususnya para ibu.
“Ilmu itu sangat penting, dan program seperti ini adalah medan sokongan yang kita harap dapat memperkukuh peranan wanita muslimah dalam masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal menyampaikan ucapan perasmian Majlis Himpunan Muslimah Tawau di Dewan Tertutup Kompleks Sukan, Tawau.
“Kesedaran ini perlu dipupuk agar setiap tindakan dan pandangan selari dengan syariah Islam. Kempen kesedaran adalah cara terbaik untuk membimbing wanita memberi reaksi berhemah terhadap isu semasa,” katanya ketika merasmikan Majlis Himpunan Muslimah Tawau di Dewan Tertutup Kompleks Sukan, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan dengan kerjasama Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal (KERJA) dan Pertubuhan Kebajikan Jeel As-Salamah itu menghimpunkan muslimah dari seluruh daerah Tawau dan Kalabakan.
-RJ-





