
Laporan/foto: Shahmie Rozman
GUA MUSANG, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – “Kursus pembuatan kuih bukan sahaja mampu memperkasakan kemahiran peserta, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu, khususnya kepada golongan wanita dan belia”.

Peserta tekun menggoreng donut semasa Kursus Pembuatan Kuih, mempelajari teknik menghasilkan kuih yang gebu dan enak.
“Kursus sebegini amat signifikan dalam usaha kita memperkasakan komuniti, terutamanya dalam kalangan wanita dan belia,” ujar Pengarah MARA Negeri Kelantan Zahrail Affenday Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program MARA Prihatin @ Rakan Muda anjuran Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) Daerah Gua Musang dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang yang antara lain menampilkan kursus pembuatan kuih, di sini.
Salah seorang peserta Nur Farah Ibrahim, 42, menyifatkan program itu sebagai inisiatif yang baik dan bermanfaat untuk semua peringkat umur.
Menurutnya, peluang sebegitu bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup keluarganya, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kuih tradisional adalah warisan budaya yang perlu kita banggakan dan pelihara. Kuih kering tradisional bukan sahaja melambangkan keunikan budaya, malah mempunyai nilai sentimental kepada masyarakat kita,” katanya.

Peserta menggunakan mesin pengadun untuk menyediakan doh semasa Kursus Pembuatan Kuih di bawah Program MARA Prihatin 2025.
Tambahnya, kuih kering tradisional seperti akok, tepung pelita dan lompat tikam perlu dikekalkan dalam kalangan masyarakat agar tidak pupus ditelan zaman.
Malah, kuih-kuih itu juga berpotensi dipromosikan sebagai produk pelancongan.
“Saya percaya melalui kursus ini, peserta bukan sahaja mempelajari teknik pembuatan kuih, tetapi juga berpeluang mengkomersialkannya ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
-RI





