Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pakaian Tradisional Melayu Bawa Identiti, Budaya dan Warisan

By 12 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad

PASIR MAS, 12 Ogos (MalaysiaAktif) – Busana tradisional Melayu yang menjadi lambang penting kepada identiti dan warisan budaya masyarakat Melayu menyambut ketibaan Peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di Dataran Bandar Baru Pasir Mas, di sini semalam.

Marzukiakie berbusana tradisional Melayu ketika menyampaikan sajak ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’.

Dengan penuh semangat serta kecintaan terhadap budaya tradisional, 10 orang Ahli Jawatankuasa Komuniti MADANI Bandar Pasir Mas mengenakan busana tradisional Melayu sebagai simbol identiti, budaya dan warisan yang wajar dibanggakan serta diwarisi oleh generasi muda.

Menurut Setiausaha Komuniti MADANI Marzukiakie Muhammad Yusoff, 59, rakyat Malaysia perlu menghidupkan semula amalan berbusana tradisional kerana ia membawa mesej mendalam tentang identiti Melayu yang tidak seharusnya dilupakan walaupun zaman berubah.

“Berbusana tradisional Melayu seperti ini bukan hanya untuk memperindah penampilan, malah bertujuan menggalakkan golongan muda dan masyarakat umum mengenali serta menghargai warisan berpakaian kita.

“Ia mencerminkan tata susila, kesopanan dan jati diri bangsa Melayu. Usaha memelihara dan mempromosikan pakaian tradisional ini perlu diteruskan agar tidak pupus ditelan zaman,” ujarnya.

Meniup tetuang atau sangkakala bagi menghasilkan bunyi bertujuan menyeru masyarakat untuk berkumpul dalam upacara rasmi.

Selain pakaian, beliau turut memperkenalkan tetuang, sejenis alat tradisional yang pernah memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat kampung pada masa dahulu.

Menurutnya, tetuang digunakan untuk menyeru penduduk berkumpul sama ada bagi majlis rasmi, perbincangan penting atau situasi kecemasan.

Inisiatif seperti ini diharap dapat menyemarakkan semula minat terhadap budaya tradisional dan memastikan warisan Melayu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda