Skip to main content
Berita TempatanSabah

LKM Sasar Sabah Jadi Pemacu Utama Industri Koko Negara

By 13 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 13 Ogos (MalaysiaAktif) – Industri koko negara kembali mendapat perhatian syarikat perladangan, susulan kenaikan harga biji koko kering dunia sebanyak 141 peratus pada 2024, menjadikannya komoditi yang mampu menjana pulangan lumayan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pihaknya melihat Sabah khususnya Tawau, sebagai lokasi strategik dengan potensi besar untuk menjadi penyumbang utama pembangunan semula industri koko negara.

“Sabah memiliki tanah yang luas, iklim sesuai dan kemudahan logistik eksport. Tawau pula mempunyai sejarah penanaman koko komersial sejak 1950-an. Ini kelebihan yang perlu dimanfaatkan.

Dr. Ramle Kasin menyampaikan cenderahati kepada Chan Foong Hin, sebagai tanda penghargaan.

“Di daerah Tawau sahaja, kita telah melihat kejayaan sektor kelapa sawit, getah dan pelbagai tanaman lain. Perladangan koko dikategorikan sebagai kawasan tanaman koko melebihi 40 hektar. Jumlah keluasan tanaman perladangan koko Malaysia adalah seluas 677 hektar, di mana 24 peratus berada di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Libat Urus: Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah, di sini pada Selasa.

Program anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) itu bertujuan memberi penerangan kepada syarikat perladangan mengenai insentif penanaman koko, termasuk pemberian 5,000 anak benih berkualiti tinggi bernilai RM50,000, latihan teknikal serta khidmat nasihat berterusan.

Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramle Kasin berkata program bagi tempoh 2025 hingga 2030 dengan peruntukan RM550,000 setahun itu menyasarkan peningkatan keluasan tanaman koko sebanyak 2,750 hektar di seluruh negara.

“Kita mahu membina semula ekosistem koko yang mampan dan berdaya saing. Trend minat semula syarikat tempatan seperti Koko Merah Hijau Sdn. Bhd., KK Chocolate House Sdn. Bhd. dan United Malacca Berhad menunjukkan keyakinan industri semakin pulih.

3. Sesi bergambar kenangan Chan Foong Hin bersama peserta program Libat Urus: Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Tawau.

“Sehingga Jun 2025, penglibatan syarikat perladangan di Sabah telah mencatatkan 89 hektar keluasan tanaman, manakala nilai eksport koko Malaysia melonjak daripada RM8.21 bilion pada 2023 kepada RM15.06 bilion pada 2024, dengan Sabah menyumbang 60 peratus kepada pengeluaran nasional,” ujarnya.

Ramle turut menegaskan sekiranya program itu menjadi platform dialog dua hala bagi mengenal pasti cabaran sebenar di lapangan dan bentuk sokongan yang diperlukan pemain industri.

“Kami percaya kolaborasi rapat antara agensi dan sektor perladangan akan melonjakkan semula pengeluaran koko negara secara berskala.

“Diharap semua pihak mengambil peluang ini untuk memanfaatkan kelebihan Sabah sebagai pengeluar koko premium dan biji koko single origin yang diiktiraf di pasaran dunia,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda