
Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
PUTRAJAYA, 14 Ogos (MalaysiaAktif) — Pendedahan kepada pengamal media mengenai tatacara dan kaedah penggunaan Jalur Gemilang yang betul adalah langkah terbaik membentuk masyarakat yang lebih menghormati lambang kedaulatan negara itu.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Anugerah dan Persidangan Antarabangsa di Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Azman Ishak berkata ia kerana media adalah satu entiti yang terlibat dalam urusan promosi dan publisiti secara terus kepada masyarakat.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Anugerah dan Persidangan Antarabangsa di Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Azman Ishak ketika sesi soal jawab bersama peserta Taklimat Khas: Jalur Gemilang – Maruah Negara, Amanah Media.
“Ia (media) satu cabang yang luas dan mereka mempunyai bilangan pembaca yang ramai. Jadi, ini adalah kaedah terbaik untuk mendidik masyarakat dalam penggunaan Jalur Gemilang dengan betul di mana kita mulakan dengan media terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaAktif selepas sesi Taklimat Khas: Jalur Gemilang – Maruah Negara, Amanah Media sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di Menara Komunikasi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azman yang turut menyampaikan taklimat bertajuk Akta dan Protokol Penggunaan Jalur Gemilang berkata pendekatan mendidik adalah lebih baik berbanding menghukum dalam sesuatu insiden kesilapan penggunaan Jalur Gemilang.
“Kesilapan ini berlaku mungkin disebabkan sama ada mereka memang tidak tahu ataupun mereka tahu tetapi pengamatan yang tidak jelas berkenaan tatacara penggunaan.

Pengamal media yang hadir bertanyakan soalan berkenaan protokol penggunaan Jalur Gemilang.
“Sebagai satu masyarakat kita gunakan Jalur Gemilang dengan pelbagai cara mengikut amalan sebelum ini, di mana ada amalan yang betul dan mungkin salah. Dari segi akta dan peruntukan undang-undang memang ada, tetapi lebih baik kita utamakan aspek pendidikan terlebih dahulu,” katanya.
Taklimat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melalui Bahagian Media dan Komunikasi Korporat itu menghimpunkan 50 pengamal media termasuk pegawai perhubungan awam secara fizikal, manakala 180 lagi mengikutinya secara dalam talian.
-FN-





