Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Negeri Sembilan Berjaya Tarik Pelaburan Sebanyak RM7.25 bilion

By 15 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani

REMBAU, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan sebanyak RM7.25 bilion pada tahun lalu.

“Pencapaian pembangunan Negeri Sembilan berdasarkan laporan terkini itu suatu pengiktirafan besar digandakan dengan anugerah ‘Negeri Paling Progresif di Malaysia 2024’ daripada International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025.

Arul menandatangani Buku Perasmian Program.

“Statistik ini memperkukuhkan kredibiliti perancangan RTD (Draf Rancangan Tempatan Daerah) dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh pemangku pembangunan tempatan bahawa Rembau kini berada dalam arus pembangunan yang mantap dan progresif,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan Arul Kumar Jambunathan.

Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, berkata demikian di Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi RTD Rembau 2035 (Penggantian) di Pengkalan Sungai Timun, di sini pagi semalam.

Inisiatif itu diperkenalkan sebagai platform keterbukaan dan penglibatan komuniti bagi memberi pandangan terhadap hala tuju pembangunan daerah Rembau sehingga 2035.

Melalui pendekatan dua hala itu, pihak kerajaan berharap proses perancangan fizikal, sosial dan ekonomi daerah Rembau akan diserlahkan dengan suara dan aspirasi rakyat secara inklusif, telus dan komprehensif.

Program yang diadakan sepanjang tempoh publisiti iaitu dari 1 hingga 29 Ogos itu memberi ruang kepada masyarakat menyemak draf melalui saluran fizikal di Pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Sembilan, Majlis Daerah Rembau serta Pejabat Daerah dan Tanah Rembau.

Program hasil kerjasama PLANMalaysia Negeri Sembilan dan Majlis Daerah Rembau (MDR) itu dilaksanakan berdasarkan Subseksyen 16(3), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Arul dan YDP Majlis Daerah Rembau melepaskan ikan baung di Sungai Timun di jeti.

Majlis penuh simbolik dan memupuk keharmonian ekologi itu turut melepaskan benih anak ikan baung di jeti berhampiran, menandakan komitmen terhadap kelestarian alam serta kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia, Md Nazri Abdullah, Yang Dipertua MDR Mohd Zamri Mohd Esa serta Pengarah PLANMalaysia Negeri Sembilan Zaifulzahri Kamde.

-RI

Tinggalkan komen anda