
Laporan/Foto: Eliasak Omar/Abdul Aziz Osman (SPU)
KEPALA BATAS, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Bertam Perdana sempena bulan kebangsaan 2025 berlangsung meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Kailan, Paya Keladi, di sini semalam.

Ucapan perasmian oleh Datuk Bandar MBSP, Datuk Haji Baderul Amin Abdul Hamid
Program itu menghimpunkan masyarakat segenap lapisan usia melalui pelbagai aktiviti kekeluargaan, kesihatan, pendidikan dan rekreasi.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah bengkel tebar roti canai, pertandingan masakan aneka kerabu serta demonstrasi masakan.
Pengunjung juga berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, membeli-belah di Jualan Rahmah MADANI selain meninjau pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta gerai jualan aneka makanan dan minuman turut memeriahkan suasana.
Acara turut diserikan dengan Majlis Serahan Jalur Gemilang kepada pemimpin komuniti, simbolik menyemarakkan semangat patriotisme selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menekankan kebersamaan rakyat.

Edaran Jalur Gemilang turut dilaksanakan oleh Komuniti MADANI Bertam Perdana kepada pengunjung yang hadir
Bagi pengunjung Intan Zaireen Azman, 43, program berkenaan bukan sekadar medan hiburan, malah menjadi wadah mengeratkan silaturahim.
“Seronok dapat hadir hari ini, anak-anak bukan sahaja gembira dengan aktiviti sukaneka malah kami sekeluarga dapat belajar tentang kepentingan kesihatan dan menyemai semangat cintakan negara,” katanya.
Program tersebut dilaksanakan bersama Program MBSP Santuni Komuniti anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan disempurnakan Datuk Bandar Datuk Haji Baderul Amin Abdul Hamid bersama Ahli Majlis Bandaraya Zainuddin Mohamed.
-AA-





