
Laporan/foto: Noor Sazarina/Hamzani Zen (Petaling)
KOTA DAMANSARA, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Program edaran Jalur Gemilang di Subang Perdana, di sini berjaya menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) adalah wadah terbaik menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Penyampaian Jalur Gemilang kepada wakil-wakil komuniti.
“Kibaran Jalur Gemilang melambangkan perpaduan kita, inisiatif 1R1JG adalah bukti rakyat Malaysia mampu berganding bahu, tidak kira kaum atau agama demi mengangkat martabat negara.
“Semangat patriotik ini harus kita zahirkan, bukan hanya pada Ogos tetapi sepanjang masa bagi menyemarakkan semangat patriotik dan mengukuhkan kesetiaan kita kepada negara selaras dengan tema Malaysia MADANI : Rakyat Disantuni,” katanya dalam ucapannya, di sini semalam.

Ketua Komuniti MADANI Subang Perdana 2, Abdul Aziz Moiden meletakkan bendera kenderaan di sesi edaran Jalur Gemilang.
Edaran Jalur Gemilang kepada pemandu dan orang ramai di sekitar Subang Perdana menyaksikan gelagat masyarakat yang menerima bendera dengan penuh rasa bangga dan memberi sokongan padu terhadap usaha menghidupkan suasana sambutan bulan kemerdekaan itu.
Program dengan kerjasama Komuniti MADANI Subang Perdana 2 itu diharap menjadi pemangkin kepada rakyat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis dan kawasan masing-masing seterusnya menzahirkan kecintaan serta kesetiaan kepada tanah air tercinta.
-RI





