
Laporan/ foto : Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Kampung Peros menjadi lokasi kedua penganjuran Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 Komuniti MADANI di Daerah Bau dan berlangsung meriah membabitkan penglibatan aktif generasi muda, ibu bapa dan anak-anak mereka di sini, kelmarin.

Sata berterima kasih kepada ahli Komuniti Madani dan penduduk Kampung Peros yang terlibat sama menjayakan program.
Selain menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta, program itu juga bertujuan mengalakkan masyarakat Bidayuh mengibarkan Jalur Gemilang melalui Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Peros Sata Najoi dalam ucapannya berterima kasih kepada penduduk setempat yang menyahut seruan kerajaan dan menunjukkan komitmen padu menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang sempena HKHM 2025.
“Ketika ini, Kampung Peros meriah dengan kibaran Jalur Gemilang di setiap rumah penduduk yang mencerminkan semangat patriotisme dan cinta negara sekali gus menjayakan Kempen 1R1JG oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman (empat kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Komuniti MADANI yang diketuai Sata (lima kanan).
“Beginilah juga caranya kita zahirkan rasa cinta dan penghargaan kepada tanah air yang mana mengibarkan Jalur Gemilang bukan simbolik semata-mata sebaliknya usaha yang didorong semangat patriotisme,” katanya.
Sambutan yang diberikan pada program tersebut amat mengalakkan apabila ramai penduduk kampung berkumpul di dewan kampung itu seawal 8 pagi bagi mengikuti program anjuran bersama JAPEN Daerah Bau, Komuniti MADANI Kampung Peros dan Tabika KEMAS Krokong.
Selain penyerahan Jalur Gemilang oleh JAPEN kepada Komuniti MADANI, turut diadakan ialah ceramah inisiatif kerajaan dan isu semasa, pertandingan mewarna kanak-kanak sempena HKHM 2025, nyanyian lagu patriotik dan sukaneka serta sesi soal jawab yang memberi fokus kepada penekanan penghayatan Rukun Negara, menghormati lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.
-RJ-





