
Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Wan Izati (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 19 Ogos (MalaysiaAktif) – Budaya buli dalam kalangan pelajar perlu dibendung agar dapat mengatasi generasi hadapan yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Guru Besar (dua dari kanan) memberikan cenderahati kepada tetamu yang hadir.
Menyedari hakikat itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathi mengambil inisiatif bekerjasama dengan Pejabat Penerangan Daerah Bagan Datuk, Komuniti MADANI Hutan Melintang 2 dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk bagi memberi kesedaran kepada murid tentang kesan negatif perbuatan buli.
Guru Besar Gopal Govindaraju berkata taklimat mengenai bahaya perbuatan buli menjadi antara pengisian utama Program JIWA @ Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
“Penganjuran ini bukan sahaja membantu kerajaan memperkukuh kempen antibuli, malah mampu membendung gejala ini dari peringkat awal sebelum murid melangkah ke alam persekolahan lebih tinggi,” katanya ketika berucap di Dewan Sanmarkha, di sini kelmarin.

Guru-guru dan pelajar merakamkan gambar kenangan.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Hutan Melintang 2 Krishna Kumari menegaskan pihaknya berazam untuk meneruskan program seumpama itu di sekolah-sekolah lain di sekitar daerah tersebut.
“Pelajar bukan sahaja didedahkan dengan jenis-jenis perbuatan buli, tetapi juga kesan buruk terhadap mangsa serta saluran yang boleh digunakan untuk membuat laporan jika menjadi mangsa,” katanya.
Turut hadir Insp Noor Aisyah Mat Isa dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Bagan Datuk.
-RI





