
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)
DUNGUN, 19 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana Kampung Batu 5 bertukar meriah apabila Komuniti MADANI Tiong Hwa bersama-sama bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di kawasan kejiranan mereka sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Warga kampung turut berkonvoi dengan kenderaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang, menyemarakkan semangat patriotisme.
Aktiviti penuh semangat itu bukan sahaja menghidupkan aura patriotisme, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk pelbagai kaum dan generasi.
Ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Kampung Batu 5 Lau Hwee Teen, 40, berkata beliau terharu melihat penyertaan ramai penduduk.
“Jalur Gemilang dipasang di dewan terbuka, balai raya, rumah ibadat, kediaman penduduk serta sekitar kampung.

Penghargaan simbolik melalui pemberian pokok hiasan dan edaran risalah patriotik kepada penduduk sekitar Kampung Batu 5.
“Saya berterima kasih kepada Pegawai Penerangan Daerah Dungun dan pasukan yang turun bersama-sama berganding bahu dalam gotong-royong pagi ini,” katanya, kelmarin.
Sementara itu, penduduk setempat Tan Git Lee, 52, menyifatkan program ini sebagai aktiviti tahunan yang dinanti-nantikan kerana berjaya menyatukan masyarakat setempat tanpa mengira umur dan latar belakang.
“Penglibatan penduduk dalam memasang Jalur Gemilang ini juga menjadi wadah mendidik generasi muda mengenai nilai patriotisme, kerjasama serta semangat hidup harmoni dalam masyarakat majmuk,” ujarnya ketika ditemu bual MalaysiaAktif.
-RI





