
Laporan/foto: Memi Yusoff/Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 20 Ogos (MalaysiaAktif) – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang RM50,000 bagi pembelian tiket Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025, sebagai tanda sokongan penuh terhadap kejohanan berprestij itu yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Sept ini.
Timbalan Datuk Bandar MBSA Safriah Md Azhar berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian daripada kejohanan bersejarah itu, apatah lagi apabila MBSA dipilih sebagai salah satu lokasi rasmi penyerahan tiket dalam siri jelajah publisiti TSSC 2025.

Safriah ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Tiket The Sultan’s Of Selangor Cup 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 Shah Alam.
“Sebagai tanda sokongan penuh, MBSA menyumbang RM50,000 bagi pembelian tiket perlawanan dan RM6,000 untuk t-shirt rasmi TSSC, selain menyediakan dua buah bas khas untuk membawa warga MBSA menyaksikan aksi penuh sejarah ini.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen MBSA terhadap pembangunan sukan serta usaha memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan warga kerja dan masyarakat Shah Alam secara amnya,” katanya di Majlis Penyerahan Tiket The Sultan’s Of Selangor Cup 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 Shah Alam, di sini semalam.
Menariknya, menurut Safriah, ada dalam kalangan warga kerja MBSA yang merupakan penyokong tegar Ultras Selangor bersedia menggearkan stadium dengan sorakan dan semangat luar biasa.

Antara pemain bola sepak veteran Negeri selangor yang hadir Datuk Dollah Salleh (kanan), Datuk Zainal Abidin (dua dari kanan) dan Datuk Santok Singh (empat dari kanan).
“Walaupun mereka penjawat awam yang terikat dengan etika, saya percaya mereka mampu menjadi contoh penyokong berdisiplin yang tetap bersemangat dan patriotik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar mengesahkan sebanyak 75 peratus tiket telah dijual, dengan hanya 400 tiket berbaki.
“Ia merupakan satu petanda jelas bahawa kehangatan TSSC 2025 sudah mula memuncak.
“Jangan tunggu lama-lama, siapa lambat, memang tak sempat. Tiket semakin licin, permintaan dari pelbagai pihak datang tanpa henti,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua penyokong menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan akses ke Stadium Merdeka dan mengelakkan kesesakan.
-RI





